Malam gemilang ini memperlihatkan bintang-bintang sumber manusia mengungguli kategori masing-masing dengan prestasi cemerlang.
Kuala Lumpur, 7 November 2024 – Malam Gala Anugerah HRD 2024, yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada malam ini, telah menghimpunkan majikan terkemuka Malaysia, penyedia latihan, dan jurulatih dalam satu majlis meraikan kecemerlangan pembangunan modal insan.
Antara pemenang yang berjaya membawa pulang anugerah pada malam ini adalah; Abbott Penang, Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn, Bermaz Moto, dan Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd. Majlis berprestij ini telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2001, Anugerah HRD telah mengembangkan reputasinya dengan muncul sebagai platform utama yang mengiktiraf sumbangan luar biasa dalam sektor pembangunan sumber manusia. Tahun ini, Anugerah HRD mencatat jumlah penyertaan tertinggi iaitu 493 penyertaan, suatu peningkatan ketara daripada 369 penyertaan pada tahun 2023.
Pada Malam Gala Anugerah HRD 2024, sebanyak 36 anugerah telah disampaikan kepada organisasi, penyedia latihan, dan jurulatih yang cemerlang dalam empat kategori anugerah: Anugerah Menteri Sumber Manusia, Anugerah HRD Corp, Anugerah Kecemerlangan, dan Anugerah Pengiktirafan Khas dalam Pembelajaran dan Pembangunan. Anugerahanugerah ini mengukuhkan komitmen Malaysia dalam memupuk pembangunan bakat bertaraf dunia.
Para pemenang telah dinilai secara teliti oleh 14 juri yang terdiri daripada lapan pemimpin kanan HRD Corp dan enam pakar industri luar yang mewakili sektor serta organisasi utama seperti Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Proses penilaian yang ketat ini merangkumi tiga peringkat: semakan awal oleh Pasukan Penilaian HRD Corp, semakan oleh panel dalaman dan luaran, serta penilaian di lokasi premis finalis. Penilaian menyeluruh ini memastikan standard tertinggi dalam ketelusan, ketepatan, dan integriti dalam pemilihan pemenang.
Majlis ini turut dihadiri oleh Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia; Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Pengerusi HRD Corp, dan Datuk Wira Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp.
Untuk senarai lengkap semua penerima anugerah dan maklumat lanjut mengenai Anugerah HRD 2024, sila layari hrdcorp.gov.my/hrdawards2024.