Menteri Sumber Manusia turut mengumumkan penambahbaikan penting kepada Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM) HRD Corp untuk meningkatkan aktiviti pembelajaran bernilai tinggi dan fleksibel.
KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2024 – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) buat julung kalinya telah menganjurkan Forum Kemahiran ASEAN (ASF) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), hari ini.
Forum tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Steven Sim Chee Keong yang turut diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Cawangan Kemahiran dan Kebolehpasaran Kerja Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Encik Srinivas B Reddy; Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid; dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood.
ASF telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh ASEAN, termasuk wakil-wakil daripada kerajaan, persekutuan majikan, kesatuan pekerja, dan rakan kongsi antarabangsa, untuk memudahkan perbincangan penting mengenai cabaran kritikal dan peluang dalam pembangunan modal insan di rantau ini. Lebih 200 delegasi dari 16 negara hadir, termasuk wakil-wakil dari Filipina, Thailand, Kemboja, Brunei, Indonesia, Vietnam, Singapura, India, dan Austria.
Forum ini memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai penyelarasan strategi pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini. Perbincangan ini sangat penting ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan mencadangkan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang dijangka bermula pada Januari tahun depan. AYOS 2025 yang akan diterajui oleh KESUMA melalui HRD Corp, bertujuan untuk memacu pelbagai program dan aktiviti pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini sepanjang tahun tersebut.
Bercakap di ASF, YB Steven Sim berkata, sejak pertengahan abad ke-20, Malaysia telah menerima pelaburan daripada industri-industri berteknologi tinggi terkemuka dari seluruh dunia bermula dengan ‘Lapan Samurai di Pulau Pinang’ – Intel Corporation, Hewlett-Packard (kini Keysight Technologies dan Agilent Technologies), Robert Bosch, AMD, Litronix (kini ams OSRAM), Hitachi (kini Renesas), Clarion dan National Semiconductor.
“Hari ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada pemain-pemain teknologi global seperti Nvidia, Micron, Infineon, Geely, Rongsheng, Microsoft, Google, Bytedance, AWS dan banyak lagi dengan pelaburan melebihi RM30 bilion. Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN kita untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan aliran bakat yang berkemahiran tinggi, dinamik dan pelbagai,” katanya.
Srinivas ketika menyampaikan ucapannya berkata bahawa beliau teruja dengan visi AYOS 2025 serta kemungkinan yang akan dibawa oleh inisiatif tersebut. Beliau juga berharap agar para pekerja, terutamanya mereka yang terdedah kepada kesukaran, akan terus dibantu supaya setiap individu mempunyai peluang untuk berkembang maju.
“ASEAN sentiasa menjadi inspirasi bagi ILO. Saya percaya bahawa kita boleh belajar daripada rantau ini dan juga berkongsi pengetahuan terbaik kami dengan anda. Melalui forum hari ini, saya menggalakkan semua orang untuk merenungkan peranan mereka. Sama ada anda seorang pembuat dasar, pendidik, pemimpin perniagaan, atau pejuang hak pekerja, sumbangan anda sangat penting dalam membentuk masa depan pekerjaan yang lebih cerah di ASEAN,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Wira Shahul Dawood ketika bercakap di forum tersebut untuk memberikan butiran lanjut mengenai inisiatif itu berkata, dengan populasi lebih 690 juta dan jumlah tenaga kerja sebanyak 340 juta, ASEAN memegang kedudukan strategik dalam pasaran buruh global dan tenaga kerja ASEAN mempunyai potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan global, dengan syarat pembangunan kemahiran terus seiring dengan keperluan industri yang berkembang.
“Oleh itu, adalah penting bagi negara-negara anggota ASEAN untuk menangani cabaran utama yang menjejaskan pasaran buruh rantau ini, termasuk memformalkan sektor informal, pengangguran belia, ketidaksamaan jantina, penghijrahan tenaga kerja, perlindungan sosial, dan pembangunan Kemahiran,” katanya.
Tambahnya, AYOS 2025 bertujuan untuk menangani cabaran-cabaran ini dengan menyokong pertumbuhan dan daya saing yang mampan, merapatkan jurang kemahiran dan memastikan tenaga kerja ASEAN memenuhi keperluan industri. Ini akan dicapai melalui program latihan yang terfokus dan peningkatan kemahiran berterusan, mempersiapkan individu untuk peluang pekerjaan baru. Selain itu, AYOS 2025 akan memudahkan pertukaran bakat serantau, membolehkan profesional berkemahiran untuk bergerak merentasi negara-negara ASEAN, membantu berkongsi pengetahuan dan menangani kekurangan kemahiran tempatan sambil meningkatkan kerjasama dan inovasi.
Semasa forum tersebut, YB Steven Sim turut mengumumkan penambahbaikan penting kepada Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM), yang bertujuan untuk menetapkan asas bagi usaha pembangunan kemahiran Malaysia sendiri. ACM ialah panduan untuk majikan berdaftar HRD Corp dan penyedia latihan mengenai kos yang boleh dituntut, tuntutan maksimum, dan kelayakan tuntutan bagi pelbagai jenis program latihan melalui levi pembangunan sumber manusia.
Antara penambahbaikan yang disertakan adalah membenarkan yuran kursus dituntut berdasarkan kadar setiap jam berbanding kadar sebelumnya yang berasaskan setengah hari atau sehari penuh. Ini akan membolehkan majikan memanfaatkan program latihan yang berdurasi pendek, seperti kursus pembangunan profesional dan kursus mikro-kelayakan fleksibel. Selain itu, HRD Corp juga akan menaikkan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari, berbanding had sebelumnya sebanyak RM6,000 sehari. Ini akan membolehkan majikan menyediakan program latihan yang lebih berkualiti tinggi dan bernilai tinggi untuk pekerja mereka, selaras dengan permintaan industri.